Maahad Tahfiz Sains Bachok..

| | Sunday, December 20, 2009





Bismillahirrahmanirrahim

Maahad Yaakubiah Nipah atau nama asalnya Sekolah Menengah Ugama (Arab) Yaakubiah Nipah, adalah sebuah sekolah tempat ana menimba ilmu pengetahuan dunia dan akhirat suatu masa dulu. Bangunan lamanya kini telah dinaik taraf dan bertukar wajah serta misi dengan menjadi sebuah Maahad Tahfiz Sains (cawangan Bachok). Selepas menamatkan persekolahan peringkat rendah di SK Gunong, ana menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama (Arab) Yaakubiah Nipah bermula dari tingkatan peralihan pada tahun 1988.

Pada masa itu, Sekolah Arab Nipah (Gelaran sekolah ana) mempunyai dua tempat pengajian. Satu tempat dipanggil sekolah lama yang menempatkan tingkatan peralihan hingga tingkatan 2, manakala sekolah (bangunan) baru menempatkan tingkatan 3 hingga 6. Beberapa tahun kemudian, setelah pihak sekolah berjaya mendapatkan bangunan baru (hasil sumbangan orang ramai dan pihak-pihak tertentu) maka kesemua pelajar (tingkatan 1 hingga 6) di satukan di sekolah baru manakala sekolah lama hanya dijadikan asrama. Pada masa itu, ana sambung belajar ke Jordan.

Maahad Tahfiz Sains atau MTS sangat terkenal bukan sahaja di Negeri Kelantan bahkan seluruh Negara. Melalui persekolahan ini dijangka akan dapat mengeluarkan para saintis negara yang memiliki jatidiri serta modal insan yang berkualiti, bukan sahaja untuk kejayaan hidup di dunia bahkan di akhirat. Sejak ditubuhkan, MTS mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pihak ibu bapa bukan sahaja dari dalam negeri Kelantan bahkan dari luar Kelantan. Kini, MTS telah melebarkan sayapnya ke serata daerah termasuklah daerah Bachok yang terkenal dengan daerah ilmu ini.

Maahad Tahfiz Sains cawangan Bachok adalah salah sebuah sekolah Tahfiz dibawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan yang dibuka pada tahun 2007 ekoran permintaan yang begitu tinggi daripada ibu bapa untuk melahirkan para Huffaz yang hebat dan ahli sains serta profesional yang memiliki ciri modal insan yang tinggi akhlaknya, berketerampilan,
dan mampu menjadi pendakwah yang boleh menerangi orang lain.



Maahad Tahfiz Sains Cawangan Bachok diasaskan di atas tanah seluas 6 ekar disebuah sekolah lama Maahad Yaakubiah Nipah yang ditinggalkan sejak tahun 1997 setelah Maahad Yaakubiah Nipah mendapat bangunan baru di kawasan yang berhampiran. Bangunan sekolah yang ditinggalkan itu sudah amat uzur dan telah dibaik pulih semula oleh Jawatankuasa PIBG sekolah dengan melibatkan kos RM40,000. Dengan kelengkapan yang sederhana ini maka bermulalah pengambilan pelajar pertama pada tahun 2008 seramai 60 orang pelajar. Pada peringkat pertama ini MTS cuma memiliki sebuah rumah warden, 4 buah dorm asrama pelajar, 2 bilik untuk pengajaran P & P, sebuah dewan makan dan sebuah pejabat urusan.

Bagi menampung kemasukan pelajar baru pada tahun 2009 pula pihak PIBG terpaksa membina satu lagi bangunan baru dengan belanja sendiri serta derma daripada orang ramai yang terdiri daripada 4 dom asrama pelajar bagi menerima kemasukan pelajar baru seramai 60 pelajar. Sebuah dewan makan tambahan juga turut dibina bagi menampung pertambahan pelajar. Alhamdulilah dengan kesungguhan semua pihak bangunan ini dapat disiapkan mengikut tempoh jangkaan.

Bagi menghadapi sesi persekolahan 2010 pihak PIBG terpaksa membina sebuah lagi bangunan baru untuk membolehkan kemasukan 60 orang pelajar baru tingkatan 1. Kemudahan lain yang sedia ada juga perlu dipertingkatkan. Bangunan yang dicadangkan adalah sebuah bangunan tiga tingkat yang memiliki 12 bilik yang akan dijadikan dom pelajar, blok pejabat, bilik bacaan dan makmal sains. Kos yang dijangka adalah sebanyak RM900,000.00


Oleh kerana PIBG tidak memiliki dana yang mencukupi bagi meneruskan pembinaan bangunan yang dijangka akan dimulakan pada bulan Jun 2009 ini maka kami memohon jasa baik dan keperihatinan muslimin dan muslimat untuk sama-sama menyumbang bagi menyiapkan bangunan ini. Semua sumbangan tunai/cek/barangan bolehkah dibuat kepada;

TABUNG PEMBANGUNAN MTS CAWANGAN BACHOK (No akaun MAYBANK (5530 8302 2648)

Bagi mendapat maklumat lanjut tentang program ini dan perkembangan terkini MTS tuan / puan boleh juga melayari laman web kami di www.mtsbachok.com ATAU menghubungi talian 09-7780591 / 09-7789081

Sumbangan ini InsyaAllah dapat membantu meringankan beban yang dipikul oleh AJK PIBG untuk melihat sekolah ini dapat berkembang dengan baik. Kepada yang menderma dan menyumbang, jutaan terima kasih kami ucapkan. Doa kami semoga kehidupan tuan/puan diberkati, dimurahkan rezeki dan dalam perlindungan Allah SWT. Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala jasa baik tuan/puan.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment