| 0 comments | Sunday, December 20, 2009

Kelantan pertahan gelaran 'Serambi Mekah' ..

| 0 comments |

Muqqaddimah: KELANTAN sejak berzaman dikenali sebagai Serambi Mekah. Ramai penduduk dari kepulauan nusantara datang menimba ilmu agama di Kota Bharu. Ketika itu terdapat puluhan pondok agama di Kelantan. Biar pun era kegemilangan tersebut sudah berlalu, namun gelaran Serambi Mekah tetap utuh. Ia mula disemarak kembali bermula 1990 apabila Kelantan diterajui kepemimpinan ulama. Bagi melihat dari dekat perkembangan itu ikuti temubual bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah ketika ditemui di pejabatnya Ahad lalu.

Pendidikan agama mendapat peruntukan besar setiap tahun. Adakah sektor ini mencapai tahap yang diharapkan?

Memang pencapaian Yayasan Islam Kelantan (Yik) terus meningkat dari setahun ke setahun. Jumlah pelajar yang masuk bertambah. Kejayaan dalam peperiksaan terus meningkat. Jumlah pelajar Yik ke luar negara terutamanya dalam bidang perubatan sekarang semakin ramai.

Sasaran kerajaan sudah tercapai?

Hasrat kerajaan negeri melahirkan pelajar-pelajar lulusan bidang sains yang mempunyai asas agama setakat ini Alhamdulillah sudah menunjukkan kejayaan. Kalau dahulu pelajar kita hanya melanjut pengajian dalam bidang agama, namun bermula 10 tahun lepas kita telah melangkah lebih jauh dalam bidang profesional seperti perakauan, undang-undang, ekonomi dan sekarang dalam bidang perubatan.

Sudah adakah bekas pelajar Yik yang mengukir nama dalam bidang profesional?

Setakat ini belum ramai lagi. Bekas pelajar Yik sudah ada yang menjadi doktor. Mereka merupakan 'base' pertama pelajar aliran sains di Maahad Muhammadi. Kita baru 10 tahun, belum ramai lagi yang boleh dikenali.

Nampaknya tumpuan kerajaan sekarang terarah kepada aliran Tahfiz Sains?

Sejak lima tahun lepas kita telah meneroka bidang yang baru iaitu tahfiz sains bagi melahirkan profesional yang menghafal al Quran. 'Base' pertama akan mengambil peperiksaan tahun ini. Dan kita berharap mereka akan menjadi pelajar yang cemerlang. Sebenarnya tumpuan kita sama dengan bidang-bidang lain, cuma sekarang diberi kepada tahfiz sains memandangkan ia aliran baru.

Adakah kelas tahfiz sains akan diperluaskan lagi?

Hasrat kerajaan mewujudkan sebuah maahad tahfiz di setiap jajahan, sama ada tahfiz sains atau tahfiz biasa. Setakat ini kita berjaya mewujudkan kelas tahfiz di Tanah Merah, Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh dan terbaru di Kok Lanas. Dan tahun hadapan kita akan memperkenalkan aliran tahfiz sains di Mahaad Muhammadi Gua Musang. Kita berhasrat menjadikan Gua Musang sebagai gerbang ilmu.

Bagaimana sambutan aliran Tahfiz Sains?

Aliran tahfiz sains mendapat sambutan luar biasa. Sebagai contohnya tahun ini kita pada awalnya hendak ambil hanya seramai 180 pelajar tetapi permohonan yang diterima sehingga 996 orang. Ini menyebabkan kita terpaksa menambah pengambilan sehingga kepada hampir 500 pelajar untuk memenuhi hasrat masyarakat.
Pelajar yang memohon kebanyakan cemerlang dalam UPSR iaitu 4A dan 5A. Sedangkan syarat asas hanya 3A 2B. Pelajar datang dari seluruh negara.

Maahad Tahfiz Sains seperti ini mungkin yang pertama di Malaysia?

Setakat apa yang kita tahu, memang ia pertama di Malaysia.

Mungkin model yang ada di Kelantan menarik minat pihak lain?

Setakat ini kerajaan Selangor turut berminat. Kerajaan negeri tersebut mahu mewujudkan sekolah yang konsepnya sama dengan Tahfiz Sains di Kelantan cuma namanya mungkin berbeza. Jabatan Agama Islam Selangor telah mewujudkan jawatankuasa bagi mengkaji model tahfiz sains di Kelantan.
Sudah ada pegawai mereka yang datang meninjau dari dekat. Selain itu ada juga pegawai dari Jakim datang. Malah Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pendidikan Islam (Lepai) pada awalnya mahu mewujudkan sekolah model, dan mereka datang ke Kelantan melihat tahfiz sains.

Mulai tahun hadapan mungkin bajet kerajaan negeri kepada sektor pendidikan berkurangan memandangkan 20 sekolah agama rakyat (SAR) sudah mendapat bantuan Kerajaan Persekutuan?

Pendaftaran sekolah-sekolah agama dibuat dengan mengambil kira keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja yang mahu kerajaan pusat membantu sekolah-sekolah agama rakyat. Kita sebenarnya memenuhi hasrat Majlis Raja-Raja bagi membolehkan SAR dinaik taraf. Jadi kita mengambil langkah mendaftar buat permulaan 20 SAR.

Ada perkembangan positif selepas didaftar?

Selepas didaftar baru-baru ini Kementerian Pelajar meluluskan peruntukan segera sebanyak RM5 juta kepada sekolah terbabit. Jadi bermakna setiap sekolah mendapat RM250,000 bagi melaksanakan program pembangunannya. Kini kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan sedang dijalankan.

Mungkin lebih banyak lagi SAR di Kelantan didaftar?

Tidak menjadi masalah, kita boleh mendaftar lebih banyak lagi SAR sekiranya memberi kebaikan dan kementerian memenuhi janjinya sebelum ini. Jadi kerajaan negeri tidak keberatan untuk mendaftar sekolah-sekolah lain pada masa akan datang. Sekarang kita bagi masa kepada pihak terbabit untuk memenuhi segala janji-janji mereka sebelum ini.

Pengurusan SAR terus kekal di bawah Yik?

Perkara itu tidak berubah. Kita hanya daftar dan pengurusan, hak milik dan semua perkara masih berada di bawah kerajaan negeri. Cuma kementerian memberi bantuan.

Pencapaian lain dalam bidang pendidikan di Kelantan?

Tahun hadapan InsyaAllah kita akan mulakan Kolej Yayasan Islam Kelantan untuk menempatkan pelajar-pelajar tingkatan enam bawah dan enam atas di satu tempat. Sekarang mereka belajar di merata-rata tempat. Kita sediakan asrama untuk mereka bagi memberi tumpuan sepenuhnya bagi menghadapi peperiksan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan STPM.
Kolej Yik sedang dibina di Kok Lanas berdekatan kem tentera yang mempunyai keluasan 11 ekar. Sebahagian tanah itu akan dibangunkan dengan kolej tersebut. Pembinaannya sekarang sedangkan dijalankan dengan peruntukan awal sebanyak RM2 juta.

Bagaimana pula dengan perkembangan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias)?

Kias sekarang sedang merangka pelan tindakan ke arah menjadi kolej universiti. Jadi sekarang kita sedang merangka meningkatkan lagi beberapa perkara bagi mencapai tahap tersebut termasuk kemudahan prasarana, jumlah pelajar dan pejabat.
Kias sedang merancang membina bangunan baru bagi menempatkan perpustakaan dan dewan kuliah. Kos pembangunan itu dianggarkan sebanyak RM6 juta.

Sebelum ini Universiti Al Azhar membatalkan MoU dengan institusi pengajian tinggi termasuk Kias. Adakah ia memberi kesan kepada pelajar?

Memang diakui ada kesannya. Bagi pelajar lepasan Kias yang hendak menyambung pengajian ke Al Azhar memang terhalang. Sebenarnya Kias sejak dua tahun lalu sudah meneroka peluang kerjasama dengan universiti di tempat-tempat lain termasuk di Acheh, Palembang di Indonesia dan universiti di Jordan.
Ini bagi membolehkan pelajar lepasan Kias menyambung pengajian di sana. Jadi apabila Al Azhar membatal MoU sebelum ini kita ada peluang-peluang lain. Setakat ini kita ada tiga MoU dengan universiti di tempat lain.
Kita juga sedang merancang mengadakan persefahaman dengan Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan Kolej Universiti Islam Selangor. Sekarang terpulang kepada pelajar untuk membuat pilihan bagi melanjut pengajian ke mana.

Kelantan juga menjadi tumpuan institusi pengajian tinggi swasta?

Ini suatu perkembangan yang sihat dan bertepatan dengan Kelantan menjadi Serambi Mekah. Jadi apabila banyak IPTS beroperasi di sini bermakna Kelantan menjadi tempat tumpuan ilmuan. Lim Kok Wing university juga akan beroperasi di sini tahun hadapan. Bagi mereka yang mahu suasana yang berbeza maka mereka datang belajar di sini.

Apa kemudahan yang mampu diberi kerajaan negeri kepada IPTS terbabit?

Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama dalam aspek permohonan tanah dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Misalnya kerajaan negeri meluluskan permohonan Lim Kok Wing University membina kampus mereka di Machang. IPTS itu akan memulakan operasi tidak lama lagi dengan membuka kampus sementara di bangunan Kelantan Trade Centre.

Bagaimana dengan kemudahan di pejabat-pejabat agama?

Kita sebenarnya sudah siap membina kompleks Islam di Tumpat. Kita juga sudah keluar tender bagi membina kompleks Islam di Gua Musang dan selepas itu di Bachok serta Machang pula. Kita mahu mempastikan pejabat-pejabat agama di peringkat jajahan sesuai dengan zaman dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Kita juga sedang merancang membesarkan kompleks Balai Islam di Lundang. Kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi mengambil balik tanah di kawasan berhampiran. Kita merancang membuat kompleks yang lengkap dengan masjid ala Turki, Pusat Latihan Islam Darulnaim bagi melatih pegawai-pegawai dari segi kefahaman Islam.
Kita juga akan wujudkan lot-lot dalam bentuk bazar perniagaan untuk membolehkan peniaga-peniaga kecil berniaga yang berkaitan keperluan agama dan masyarakat Islam. Selain itu kita akan wujudkan food court yang terbuka. Kos keseluruhan bagi pembangunan kompleks baru kita dijangka menjangkau RM20 juta.
Sekiranya keadaan mengizinkan tahun hadapan pembinaan akan dijalankan. Ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Sejauh mana peranan Unit Dakwah Halaqat?

Gerak kerja memang banyak yang ditumpu di peringkat akar umbi. Mereka terdiri daripada pegawai, pembantu dan guru-guru al Quran. Program tahunan yang dianjurkan Halaqat ialah Tadarus al Quran pada bulan Ramadan dan perayaan Bulan Sembahyang.

Kerajaan negeri juga mengadakan perayaan Hari Hudud, sejauh mana perkembangannya?

Kita secara tidak langsung dapat menambah kefahaman masyarakat mengenai perundangan
Islam. Sekarang semakin ramai orang tahu keperluan dan kepentingan perundangan hudud. Kita mahu masyarakat sedar tanggungjawab mereka terhadap agama. Apabila tiba pelaksanaan hukum tersebut rakyat mudah menerimanya. Program itu lebih kepada mempersiapkan mental dan psikologi rakyat.

GARIS DASAR PENUBUHAN KELAS TAHFIZ

| 0 comments |

MUKADDIMAH
Perkembangan tahfiz sejak akhir-akhir ini begitu menggalakkan ini dibuktikan melalui sambutan ibubapa yang begitu menggalakkan dari selusuh pelusuk tanah air keadaan ini dibuktikan melalui lebihan permintaan terhadap sekolah-sekolah tahfiz yang di kendalikan oleh YIK .Bagi menampung kekurangan tersebut maka pihak YIK terpaksa menganbil langkah membuka semula maahad tahfiz Sains Bustaanul Arifin Yang telah di pindahkan ke Tanah Merah .Ekoran perkembangan ini .YIK terpaksa membesarkan Maahad Tahfiz Tualang Tinggi,Maahad Tahfiz Al Kauthsar dan Maahad Tahfiz Pulau Condong.
OBJEKTIF
  1. Melahirkan lebih ramai Huffaz di negeri serambi mekah
  2. Mewujudkan satu pusat tahfiz di Daerah Bachok yan belum ada.
  3. Merialisasikan Manifesto kelantan sebelum pilihanraya 2004 iaitu mewujudkan satu pusat tahfiz bagi satu daerah
  4. Melahirkan huffaz yang boleh terjun kedalam masyarakat untuk menyebarkan ajaran islam di seluruh pelusuk Negara.
  5. Memanfaatkan tenaga huffaz yang telah dilahirkan oleh Maahad Tahfiz sedia ada dengan mewujudkan peluang pekerjaan untuk mereka
  6. Melahirkan diri sains islam yang memahami islam dan merialisasikan islam dalam kehidupan mereka.
  7. Memanfaatkan prasana yang sedia ada di Maahad Yaakubiah Nipah seperti asrama yang tidak digunakan dan keluasan tanah yang luas untuk diperbesarkan.
KURIKULUM
  1. Hafazan Al-Quran
  2. Ilmu Qiraat
PERLAKSANAAN
  1. Asrama ½ km daripada sekolahyang boleh menempatkan 300 orang pelajar lelaki sahaja belum ada peralatan.
  2. Bilik darjah 31 Bilik darjah
  3. Makmal sebuah makmal yang lengkap
  4. Masjid berhampiran asrama yang boleh memuatkan 2000 orang jemaah yang sesuai dijadikan tempat menghafal Al-Quran.
  5. Kantin asrama
PENGAMBILAN PELAJAR
Terbuka kepada semua pelajar lepasan tahun 6 UPSR. Yang mendapat Minima 3A Keatas
Penerimaan hanya 30 orang pelajar setahun
PROSEDUR
Permohonan melalui YIK
BENTUK
Mengikut cara tersendiri
Temuduga dahulu
Bayaran RM160 sebulan termasuk makan minum dan asrama
Tenaga pelajar orang luar RM450 elaun termasuk tempat tinggal dan makan dia
Kadar nisbah guru pelajar (1:25)
PENJADUALAN P&P
8.00 – 2.00ptg
3.00-5.00ptg
5.00-6.00ptg
7.00-10.00mlm
Ahad
Hingga
khamis
Persekolahan seperti biasa
Kelas tambahan di sekolah
Rehat
Solat dan Hafazan
Jumaat
8.00-12.00 Pg
Tasmi’k-AlQuran
2.00-5.00
petang
hafazan
rehat
Solat dan Hafazan
sabtu
R E
H
A
T
TARGET
TING 1 – 5 JUZU’
TING 2 – 10 JUZU’
TING 3 – 15 JUZU’
TING 4 – 20 JUZU’
TING 5 – 25 JUZU’
TING 6 – 30 JUZU’
...
jazakkalah..

Maahad Tahfiz Sains Bachok..

| 0 comments |





Bismillahirrahmanirrahim

Maahad Yaakubiah Nipah atau nama asalnya Sekolah Menengah Ugama (Arab) Yaakubiah Nipah, adalah sebuah sekolah tempat ana menimba ilmu pengetahuan dunia dan akhirat suatu masa dulu. Bangunan lamanya kini telah dinaik taraf dan bertukar wajah serta misi dengan menjadi sebuah Maahad Tahfiz Sains (cawangan Bachok). Selepas menamatkan persekolahan peringkat rendah di SK Gunong, ana menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama (Arab) Yaakubiah Nipah bermula dari tingkatan peralihan pada tahun 1988.

Pada masa itu, Sekolah Arab Nipah (Gelaran sekolah ana) mempunyai dua tempat pengajian. Satu tempat dipanggil sekolah lama yang menempatkan tingkatan peralihan hingga tingkatan 2, manakala sekolah (bangunan) baru menempatkan tingkatan 3 hingga 6. Beberapa tahun kemudian, setelah pihak sekolah berjaya mendapatkan bangunan baru (hasil sumbangan orang ramai dan pihak-pihak tertentu) maka kesemua pelajar (tingkatan 1 hingga 6) di satukan di sekolah baru manakala sekolah lama hanya dijadikan asrama. Pada masa itu, ana sambung belajar ke Jordan.

Maahad Tahfiz Sains atau MTS sangat terkenal bukan sahaja di Negeri Kelantan bahkan seluruh Negara. Melalui persekolahan ini dijangka akan dapat mengeluarkan para saintis negara yang memiliki jatidiri serta modal insan yang berkualiti, bukan sahaja untuk kejayaan hidup di dunia bahkan di akhirat. Sejak ditubuhkan, MTS mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pihak ibu bapa bukan sahaja dari dalam negeri Kelantan bahkan dari luar Kelantan. Kini, MTS telah melebarkan sayapnya ke serata daerah termasuklah daerah Bachok yang terkenal dengan daerah ilmu ini.

Maahad Tahfiz Sains cawangan Bachok adalah salah sebuah sekolah Tahfiz dibawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan yang dibuka pada tahun 2007 ekoran permintaan yang begitu tinggi daripada ibu bapa untuk melahirkan para Huffaz yang hebat dan ahli sains serta profesional yang memiliki ciri modal insan yang tinggi akhlaknya, berketerampilan,
dan mampu menjadi pendakwah yang boleh menerangi orang lain.



Maahad Tahfiz Sains Cawangan Bachok diasaskan di atas tanah seluas 6 ekar disebuah sekolah lama Maahad Yaakubiah Nipah yang ditinggalkan sejak tahun 1997 setelah Maahad Yaakubiah Nipah mendapat bangunan baru di kawasan yang berhampiran. Bangunan sekolah yang ditinggalkan itu sudah amat uzur dan telah dibaik pulih semula oleh Jawatankuasa PIBG sekolah dengan melibatkan kos RM40,000. Dengan kelengkapan yang sederhana ini maka bermulalah pengambilan pelajar pertama pada tahun 2008 seramai 60 orang pelajar. Pada peringkat pertama ini MTS cuma memiliki sebuah rumah warden, 4 buah dorm asrama pelajar, 2 bilik untuk pengajaran P & P, sebuah dewan makan dan sebuah pejabat urusan.

Bagi menampung kemasukan pelajar baru pada tahun 2009 pula pihak PIBG terpaksa membina satu lagi bangunan baru dengan belanja sendiri serta derma daripada orang ramai yang terdiri daripada 4 dom asrama pelajar bagi menerima kemasukan pelajar baru seramai 60 pelajar. Sebuah dewan makan tambahan juga turut dibina bagi menampung pertambahan pelajar. Alhamdulilah dengan kesungguhan semua pihak bangunan ini dapat disiapkan mengikut tempoh jangkaan.

Bagi menghadapi sesi persekolahan 2010 pihak PIBG terpaksa membina sebuah lagi bangunan baru untuk membolehkan kemasukan 60 orang pelajar baru tingkatan 1. Kemudahan lain yang sedia ada juga perlu dipertingkatkan. Bangunan yang dicadangkan adalah sebuah bangunan tiga tingkat yang memiliki 12 bilik yang akan dijadikan dom pelajar, blok pejabat, bilik bacaan dan makmal sains. Kos yang dijangka adalah sebanyak RM900,000.00


Oleh kerana PIBG tidak memiliki dana yang mencukupi bagi meneruskan pembinaan bangunan yang dijangka akan dimulakan pada bulan Jun 2009 ini maka kami memohon jasa baik dan keperihatinan muslimin dan muslimat untuk sama-sama menyumbang bagi menyiapkan bangunan ini. Semua sumbangan tunai/cek/barangan bolehkah dibuat kepada;

TABUNG PEMBANGUNAN MTS CAWANGAN BACHOK (No akaun MAYBANK (5530 8302 2648)

Bagi mendapat maklumat lanjut tentang program ini dan perkembangan terkini MTS tuan / puan boleh juga melayari laman web kami di www.mtsbachok.com ATAU menghubungi talian 09-7780591 / 09-7789081

Sumbangan ini InsyaAllah dapat membantu meringankan beban yang dipikul oleh AJK PIBG untuk melihat sekolah ini dapat berkembang dengan baik. Kepada yang menderma dan menyumbang, jutaan terima kasih kami ucapkan. Doa kami semoga kehidupan tuan/puan diberkati, dimurahkan rezeki dan dalam perlindungan Allah SWT. Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala jasa baik tuan/puan.

Wassalam.

Tahfiz Scince College

| 1 comments | Friday, December 18, 2009